Wednesday, April 18, 2012

Dua bentuk jihad.

Bismillahirrahmanirrahim...

Lately my life has been very hectic. I was very busy keeping up with tons of load work from Monday to Saturday. Kadang- kadang terpaksa bermalam di sekolah disebabkan program- program yang dijalankan contohnya seperti perkhemahan dan motivasi pelajar. Cikgu- cikgu yang baru biasanya kena lah berkorban lebih dari segi masa dan tenaga. Waktu- waktu lain pula dipenuhi dengan urusan- urusan keluarga atau pun mengajar tuisyen. Teringat seorang pendengar radio ikim pernah bertanya... untuk apakah kita bekerja keras setiap hari... jawapannya ialah untuk mengejar akhirat. Rumah dan keluarga adalah syurga yang paling indah manakala tempat kerja adalah syurga dunia harian. Kita perlu meraih syurga dunia terlebih dahulu baru lah kita dapat mengejar syurga di akhirat. Semoga kita semua diberikan kekuatan...amin.


Sedang kita asyik dengan urusan kerja kita setiap hari kita lupa akan saudara- saudara Islam kita di Gaza sana. Diri ini tertanya- tanya... mampukah kita menghadapi keperitan dan kepayahan hidup yang berpanjangan seperti yang mereka lalui? Sudah tentu jawapannya tidak. Terasa kekaguman yang amat tinggi pada mereka lebih- lebih lagi kepada anak- anak muda remaja di sana yang semuanya berkobar- kobar menawarkan diri untuk menjadi pejuang bebas. Para graduan universiti pula meneruskan pelajaran mereka bukan kerana hendak mendapat pekerjaan yang hebat tetapi sekadar mendapatkan ilmu untuk berjihad di jalan Allah. Subhanallah. Tidak terdaya hambaMu ini untuk menjadi seperti mereka...


Anak- anak muda Palestin di sana tidak pernah kenal erti penat dan putus asa. Jauh bezanya jika dibandingkan dengan anak- anak muda di sekolah saya. Yang menjadi pemimpin dan ketua di kalangan mereka selalunya adalah pelajar perempuan. Alasan yang diberikan oleh pelajar lelaki untuk tidak menjadi ketua adalah kerana mereka terlalu pemalu atau mereka takut jika rakan- rakan lelaki mereka yang lain akan menganggap mereka budget bagus. Begitulah situasi yang luar biasa benar di kalangan remaja zaman ini.

Memetik kata- kata seorang penceramah, beliau menyatakan bahawa manusia zaman ini perlu menerima hakikat bahawa generasi akhir zaman memang ramai yang ingkar pada perintah Allah. Oleh kerana itulah kerjaya seperti pendidik ini menjadi semakin mencabar dari hari ke hari. Kesabaran yang tinggi amat diperlukan dalam mendidik ummah zaman ini. Semoga saya diberi kekuatan untuk membantu diri saya sendiri serta orang- orang yang berada di sekeliling saya agar menjadi kalangan umat yang mampu menegakkan hukum- hukum Allah di bumi ini.

Teringat pula semasa tahun pertama saya mula bekerja. Terkejut agaknya dengan budaya sebenar bekerja sebagai pendidik waktu itu sehinggakan waktu solat kadang- kadang boleh jadi tidak khusyuk kerana terbawa- bawa akan perasaan susahnya hendak mendidik dan mengawal disiplin pelajar- pelajar. Kadang- kadang terlalu letih kerana mengenangkan nasib anak- anak bangsa sendiri. Kerjaya pendidik ini memerlukan mental yang betul- betul kuat. Setiap tutur kata dan perbuatan seorang guru boleh mengubah dan mempengaruhi seseorang pelajar agar menjadi orang yang lebih baik. Yang paling mencabar ialah setiap hari bekerja merupakan hari yang sukar untuk diduga. Pelbagai cara yang Allah akan uji kita dalam hari- hari tersebut.

Terus terang saya katakan, sampai sekarang ini saya masih rasa takut untuk ke sekolah. Kelakar pula bunyinya. Namun ketakutan itu bukan bermaksud takut kerana enggan pergi bekerja tetapi ketakutan jika gagal melaksanakan kerja dengan baik. Mungkin saya telah cuba sedaya upaya dan semampu saya namun usaha saya tidak mencukupi lantaran kurang pengalaman dan pengetahuan. Alhamdulillah walaupun perjalanan dari rumah ke sekolah mengambil masa selama 30 minit, saya bersyukur kerana sepanjang waktu itu biasanya saya penuhi dengan doa- doa kepada Allah agar Dia permudahkan urusan saya sepanjang hari tersebut.

Apa yang menjadi persamaan antara kehidupan kita di bumi Malaysia ini dengan kehidupan masyarakat Islam di Gaza sana adalah dua bentuk jihad. Hidup ini adalah jihad. Allah Maha Besar dan Dia sentiasa menguji umatnya dalam bermacam- macam cara. Mungkin kita tidak mampu berjihad seperti para syuhada Uhud di medan perang tetapi kita masih mampu berjihad sabilillah dalam setiap hari yang kita lalui. Pendek kata, kerja itu ibadah. Cara kita berhubungan sesama manusia itu juga ibadah. Bukan solat, sedekah dan puasa sahaja.

Oleh itu, kita perlu sentiasa melakukan sesuatu itu dengan penuh keimanan kepada Allah. Menjadi fitrah bagi manusia sentiasa membuat kesilapan. Jadi, maafkan diri kita. Sabar dan teruskan melakukan sesuatu pekerjaan dengan ikhlas. InsyaAllah semuanya akan dipermudahkan.

Memetik ayat 2-3 dari surah al- Ankabut yang menyatakan bahawa "Jangan kamu sangka diri kamu beriman dan kamu tidak akan diuji..." dan dalam surah al- Baqarah ayat 45 pula Allah berfirman bahawa "Jadikanlah sabar dan solat itu penolongmu... dan sesungguhnya itu sungguh berat kecuali orang- orang yang khusyuk...." Dalam ayat ini Allah meletakkan perkataan 'sabar' di hadapan perkataan 'solat.' Dalam erti kata lain Allah menegaskan bahawa pentingnya sifat sabar ini dalam mengerjakan ibadah. InsyaAllah akan sampai bantuan Allah kepada kita.

No comments:

Post a Comment